Thursday, June 10, 2010

Undian khas tentukan nisbah lot


Oleh Hanisah Selamat
nisa@bharian.com.my
2010/06/10

  PRESIDEN PERKASA, Datuk Ibrahim Ali (kiri) dan Raja Nong Chik    (dua dari kiri), dan  Presiden PERDASAMA, Datuk Moehamad Izat Emir  (tiga, kanan) melihat kertas cadangan di majlis penerangan bersama  organisasi bukan kerajaan (NGO) mengenai Kampung Baru di Menara  DBKL,  Jalan Raja Laut, semalam.
PRESIDEN PERKASA, Datuk Ibrahim Ali (kiri) dan Raja Nong Chik (dua dari kiri), dan Presiden PERDASAMA, Datuk Moehamad Izat Emir (tiga, kanan) melihat kertas cadangan di majlis penerangan bersama organisasi bukan kerajaan (NGO) mengenai Kampung Baru di Menara DBKL, Jalan Raja Laut, semalam.
Persetujuan pemilik tanah buka kuota kepada kaum lain

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) akan menjalankan undian bagi mendapatkan persetujuan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru berhubung cadangan membuka kuota kawasan komersial kepada kaum lain sebanyak 60:40. Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, berkata tuan punya tanah mendapat keutamaan menentukan nisbah lot komersil yang boleh dibuka kepada orang luar dengan memberikan keputusan pada undian khas menjelang akhir tahun ini sebelum sebuah perbadanan ditubuhkan. “Pembangunan perkampungan tradisi berusia lebih 110 tahun yang bermatlamat meningkatkan nilai hartanah seterusnya memacu ekonomi orang Melayu memerlukan masa antara 20 hingga 30 tahun, namun kita tidak mengetepikan suara pemilik dan pewaris tanah itu.

“Kita juga sedar ramai keliru dengan nisbah 60:40 yang dibentangkan. Sebenarnya banyak pilihan boleh dilaksanakan bagi memastikan pemilikan Melayu kekal sama ada menerusi Pemegang Amanah atau hanya membuka hak milik strata kepada orang luar termasuk dari Asia Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi taklimat dengan wakil badan bukan kerajaan (NGO) mengenai Pembangunan Semula Kampung Baru, di sini, semalam.

Antara wakil yang hadir termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Dewan Perniagaan Melayu Selangor, Persatuan Pengilang Industri dan Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM).
Pertemuan itu dijalankan sebagai sebahagian daripada usaha mendapatkan maklum balas pelbagai pihak bagi menambah baik cadangan pelan pembangunan semula Kampung Baru yang dijangka bermula tahun depan.

Nong Chik berkata, sebagai permulaan pembangunan Kampung Baru yang berkeluasan melebihi 150 hektar itu dijangka dapat dijalankan awal tahun depan membabitkan tanah milik kerajaan yang menjadi ikon perkampungan berkenaan.

“Usaha terbabit lebih kepada penambahbaikan lokasi yang menjadi simbol kewujudan perkampungan itu seperti Masjid Kampung Baru, Kelab Sultan Sulaiman, Pasar Minggu dan Pasar Raja Bot sejajar dengan pemodenan semasa.

“Kita juga akan melihat beberapa lokasi lain yang sudah dipersetujui penduduk serta pemilik secara berkelompok untuk dibangunkan kerana masalah yang timbul kini hanya kekeliruan nisbah 60:40,” katanya.

Berhubung Draf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 yang turut merencanakan pembangunan Kampung Baru, beliau berkata ada perubahan dibuat untuk disesuaikan konsep pembangunan sedia ada, namun perkara itu akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelak. BH

No comments: